Latar belakang Penang South Islands

PSI merupakan sebuah projek yang melibatkan pembentukan tiga buah pulau buatan berkeluasan 1,821.085 hektar yang merentasi kawasan perairan di selatan Pulau Pinang. Atas kertas, kerajaan negeri merancang PSI sebagai medium pembiayaan pelan sistem pengangkutan negeri, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dijangka bakal mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di situ. Kebanyakan kerja perancangan dan pembinaan PSI diuruskan oleh sebuah firma khas, SRS Consortium di bawah pegangan majoriti syarikat kejuruteraan utama Malaysia, Gamuda Berhad dengan kadar 70% pemilikan.[2] Selebihnya lagi diuruskan oleh kerajaan negeri menerusi syarikatnya, Penang Infrastructure Corp Sdn Bhd.[3]

Secara keseluruhan, projek PSI bakal menelan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM46 bilion. Kerajaan Pulau Pinang meluluskan rancangan PSI pada 2015, dan dijangka siap pada 2040-an.[4] Berdasarkan kenyataan rasmi oleh SRS, PSI dijangka menguntungkan terhadap kerajaan negeri sebanyak lebih RM70 bilion menerusi pelaburan langsung asing, dan sumbangan KDNK berjumlah anggaran RM100 bilion serta membuka kira-kira 300,000 peluang pekerjaan dengan sekurang-kurangnya separuh adalah pekerjaan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.[3] Menurut wakil Gamuda, PSI dijangka dapat menjadi setaraf kawasan Teluk Marina di Singapura serta bandar raya Dubai selaku pusat perniagaan dan pelancongan yang pesat.[5]

Dengan usul perancangan dibentangkan pada 2015, pihak kerajaan negeri terpaksa menunda projek itu pada Mei 2016 akibat penentangan orang awam sambil menunggu kelulusan laporan pengurusan alam sekitar (EIA) PSI oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).[5] Pada 2019, kerajaan negeri akhirnya mendapat kelulusan bersyarat untuk meneruskan PSR. Walau bagaimanapun, permulaan projek PSI terganggu lagi tatkala kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP tumbang pada Februari 2020 akibat kesukaran memperoleh dana daripada kerajaan persekutuan yang beralih kuasa.[6] Pada Julai, projek PSI disahkan tidak diluluskan oleh kerajaan baharu negara dengan tolaknya EIA oleh JAS.[7] Pada April 2021, pihak kerajaan negeri terpaksa menunda projek itu sekali lagi sementera laporan pengurusan projek masih belum diluluskan oleh jabatan itu.[8] Berhadapan dengan gelombang bantahan baharu pada Jun, kerajaan Pulau Pinang bertegas untuk meneruskan projek itu, dengan merujuk kepada potensi pulangan yang bakal diperoleh melalui projek tersebut, dan menjamin projek ini akan dibangunkan secara mampan.[9]

Rujukan

WikiPedia: Penang South Islands https://aliran.com/media-statements/clamour-to-scr... https://aliran.com/web-specials/gamuda-double-dipp... https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/05/22... https://www.malaysianow.com/berita/2021/06/09/wala... https://asia.nikkei.com/Editor-s-Picks/Tea-Leaves/... https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/03... https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/0... https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/666627/... https://www.nst.com.my/opinion/letters/2021/05/689... https://www.sinarharian.com.my/article/147566/BERI...